KUALA LUMPUR, 26 APRIL 2013: Pemergian Shila Amzah ke China dan Amerika Syarikat baru-baru ini telah menyaksikan pelbagai sejarah dan pencapaian yang dicipta.
Selain menjayakan tiga konsert di bandar utama di Amerika Syarikat dan proses rakaman album Mandarin pertamanya, Shila juga telah siap merakamkan single cover version 'A Moment Like This' oleh Kelly Clarkson.
Menariknya mengenai lagu juara American Idol musim pertama itu adalah ia telah dialihkan ke bahasa Mandarin dan telah dinyanyikan semula oleh Shila.
Lebih membanggakan lagi, Chinese Idol yang julung kalinya dipertandingkan di negara republik itu akan menjadikan lagu ini sebagai lagu tema rancangan realiti tersebut.
"Selepas pulang dari tanah suci Mekah tempoh hari, saya berehat 2 hari dan terus ke Shanghai untuk merakamkan semula lagu A Moment Like This yang dipopularkan oleh Kelly Clarkson ketika menjuarai American Idol musim pertama.
"Ini adalah salah satu penghormatan apabila saya dipilih untuk menyanyikan lagu tema Chinese Idol yang pertama kali dibuat di China.
"Lagu tersebut pula adalah lagu juara musim pertama American Idol, memang teruja juga tetapi banyak juga dugaan ketika menyiapkan projek itu,"ujarnya yang dihubungi.
Sebut pasal dugaan, Shila memberitahu bahawa ketika proses rakaman lagu dan penghasilan muzik video lagu tersebut, dia telah jatuh sakit hingga terpaksa dimasukkan air.
Menurutnya ia disebabkan perubahan cuaca yang drastik apabila berubah daripada lokasi lain ke lokasi yang berbeza iklim.
"Ketika pulang dari Mekah, saya memang kurang sihat. Cuma dua hari di Kuala Lumpur, sampai sahaja di sana saya terus saja merakamkan lagu dan muzik video.
"Cuaca Shanghai sangat sejuk. Jadi dengan perubahan cuaca secara drastik menjadi punca saya jatuh sakit.
"Tetapi pihak pengurusan sangat membantu dan mencari penyelesaian.
"Saya di bawa ke hospital untuk dimasukkan air dan mendapatkan rawatan terbaik untuk memulihkan semula tenaga bagi menyiapkan projek ini sebelum ke Amerika Syarikat menjayakan konsert.
"Malah saya belum pernah saya menyanyikan lagu ini, jadi terdapat sebutan Mandarin yang tidak pernah didengar.
"Tetapi semuanya berjalan dengan lancar dantelah pun siap dirakamkan,"ceritanya mengenai projeknya bersama Sony Music China untuk Chinese Idol yang akan disiarkan tidak lama lagi.
Mengenai single yang telah dibeli hakcipta itu, Shila memberitahu pihak pengurusannya di sana masih mempertimbangkan untuk memasukkan lagu ini kedalam album Mandarinnya.
Cuti dua minggu ini dimanfaatkan Shila untuk peminat di sini dan projek album Melayu yang terbaru sebelum pulang semula ke Shanghai selepas PRU 13 untuk menyambung proses rakaman album Mandarin pertamanya itu.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment