Tukang Masak Gagal Ucap Kalimah Syahadah | KUANTAN – Rahsia seorang tukang masak dan pembuat minuman bukan Islam yang ‘berselindung’ di sebalik kopiah akhirnya terbongkar selepas mereka gagal mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Pegawai Pemeriksa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).
Tukang masak yang mengaku Islam itu bekerja di sebuah restoran di Jalan Besar, Tanah Rata, Cameron Highlands yang menghidangkan pelbagai makanan antarabangsa, semalam.
Ketua Unit Pengurusan Halal, Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, dua tukang masak itu mengaku beragama Islam walau pun nama yang tertera di dalam dokumen pengenalan diri tidak langsung menggambarkan mereka Islam.
“Walau pun mereka memakai kopiah tetapi tetap mengundang rasa curiga pasukan pemeriksa. Telahan tersebut ternyata berasas apabila kedua pekerja tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah dan gagal membaca surah al-Fatihah,” katanya selepas
membuat pemeriksaan di restoran itu, semalam.
Katanya, lebih mengecewakan, restoran berkenaan menggunakan tulisan halal dan kalimah Bismilah pada papan tanda di luar restoran.
“Mereka mempamerkan tulisan halal sedangkan ada pengendali makanan bukan beragama Islam. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengelirukan,” katanya.
Noridzuan berkata, restoran itu diperiksa Jawatankuasa Kajian Makanan dan Barang Gunaan Cameron Higlands berdasarkan aduan awam yang mencurigai status halal restoran itu.
Menurutnya, restoran yang baru memulakan operasi beberapa bulan lalu itu menarik pelanggan dengan pelbagai jenis hidangan Melayu, barat dan makanan arab.
Bagaimanapun, katanya, Jaip mengambil langkah tegas dengan memberi notis amaran kepada pemilik restoran kerana kesalahan kerana menggunakan pernyataan Halal dan Kalimah Bismilah yang disiasat berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011.
“Pemilik restoran bakal berdepan dengan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan dan ternyata tidak peka dengan sensitiviti umat Islam,” katanya.
Lawatan disertai 10 Pegawai dari Jaip, Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands, Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Raub.-sinar harian
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment