Dilema pelakon drama Tamil

on Saturday, July 6, 2013


BERPOTENSI. Dari kiri, Raja Ilya, Perlija Raj, Jasmine Michael, Anu Ramamoothy dan Kristina Vinokree.
KEHADIRAN pelakon yang menempa nama menerusi produksi Tamil dalam industri seni Melayu seperti Kenchana Dewi dan Pushpa Narayan boleh dibilang dengan jari.
Namun, kini muncul lima pelakon Tamil yang dijangka memberi impak kepada industri drama dan filem Melayu.

Bertempat di Rafflesia, Hotel Park Royal Kuala Lumpur baru-baru ini, berlangsung majlis memperkenalkan empat aktres yang sebelum ini aktif berlakon dalam produksi Tamil iaitu Raja Ilya, Jasmine Michael, Kristina Vinokree, dan Anu Ramamoothy di samping penampilan khas aktor dari Sri Lanka, Pearlija Raj.

Mereka berlima muncul serba glamor dan penuh pesona memperagakan busana rekaan Albert King serta dilengkapi aksesori mutiara daripada Rafflesia.
Kelima-limanya Raja Ilya, Jasmine, Kristina, Anu dan Pearlija sepakat berpendapat bahawa untuk menembusi industri seni Melayu, mereka harus mencuba nasib dengan memperkenalkan diri kepada penonton Melayu.

Kebolehan bertutur dalam bahasa Tamil merupakan satu keistimewaan Raja Ilya yang berasal dari Ipoh, Perak. Ia menyebabkan dia kini terpaksa membahagikan masa untuk berlakon dalam produksi Tamil dan Melayu.

“Saya boleh berbahasa Tamil, Urdu, dan Hindustan, jadi saya berkeupayaan untuk aktif dalam dua industri seni yang berbeza iaitu Tamil dan Melayu.

“Namun, ia tidak semudah itu kerana untuk memulakan sesuatu, kita perlulah bermula dari bawah.
“Saya akui agak susah dan tiada platform yang betul untuk pelakon Tamil menceburi industri drama Melayu,” ujar Raja Ilya membawa watak Haliza dalam drama bersiri Dahlia.

Heroin filem Estet, Jasmine Michael turut mengakui bahawa sukar bagi dirinya untuk terjun ke dalam industri drama Melayu. Ini kerana permintaan yang tinggi daripada produksi Tamil menyebabkan dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon drama Melayu.

“Saya ada terima tawaran berlakon drama Melayu. Namun setiap kali saya mahu menerima tawaran tersebut, dalam masa yang sama saya sibuk dengan penggambaran drama mahupun filem Tamil. Saya tidak boleh lari (ke produksi Melayu) kerana saya memegang watak utama dalam produksi Tamil,” katanya

Jasmine berharap dia dapat menembusi industri Melayu sekali lagi pada tahun ini.

Dia turut berpendapat bahawa pelakon India di negara ini perlu mencari dan merebut peluang yang ada untuk lebih dikenali, malah jangan terlalu memilih watak atau produksi.
Sementara pengarah yang pernah mengarah drama Tamil, Anjali untuk siaran RTM pada tahun 2011, Along Kamaruddin berpendapat pelakon-pelakon Tamil harus diberi peluang sekiranya mereka memiliki bakat.

“Saya menyarankan pengarah-pengarah beri peluang kepada pelakon bukan Melayu supaya mereka boleh membuktikan bakat mereka.
“Selain itu, untuk pelakon Tamil, dapatkan pengarah yang bagus, penceritaan yang bagus, dan cerita yang akan meletup. Melalui platform tersebut ramai akan mengenali mereka,” ujarnya.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp




Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment