DEEJAY LIN kini mempunyai single berjudul Ranting Harapan.
BELUM ada lagi artis yang merakamkan lagu tidak mahu lagunya diputarkan di stesen radio, tetapi itulah yang berlaku pada seorang penyampai radio iaitu Deejay Lin.
Deejay Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 37, baru-baru ini telah melancarkan single pertamanya berjudul Ranting Harapan ciptaan Eddie Hamid.
Namun, dia tidak berharap lagu yang dirakamnya itu akan disiarkan di mana-mana stesen radio termasuklah stesen tempat dia bekerja iaitu Suria FM.
Menurut Lin, dia tidak mahu dengan memutarkan lagu sendiri di radio, timbul pula isu kontroversi deejay syok sendiri.
Katanya, rakaman lagu itu dibuat sekadar untuk memenuhi permintaan peminat yang mahukan dirinya menyanyikan lagu sendiri.
“Saya terlalu menghargai peminat, apa sahaja permintaan yang mereka mahukan saya akan cuba penuhi. Jadi, terciptalah lagu Ranting Harapan yang berkisar mengenai kisah sebenar tentang hidup saya yang terpaksa meninggalkan orang tersayang di Johor.
“Lagu itu dimuatkan dalam album kompilasi Persona Cinta sebagai single baharu. Baki 23 buah lagu lagi dalam album tersebut merupakan pilihan bersama saya dan pihak penerbit,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album itu yang berlangsung Red Box Ria, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, penghasilan Ranting Harapan bukan untuk bersaing dengan artis sedia ada kerana dia sedar dirinya tidak berbakat besar.
Sementara itu, bercerita mengenai pengalamannya ketika merakamkan lagu tersebut, Lin memberitahu, dia mengambil masa selama dua hari untuk merakamkannya.
Oleh kerana dia bekerja pada waktu malam sehingga lewat pagi, rakaman lagu tersebut hanya boleh dibuat selepas habis tugasannya di konti iaitu sekitar pukul 2 pagi.
Namun begitu, dengan bantuan Eddie Hamid, lagu itu dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Ditanya tidakkah dia takut untuk menerima kritikan daripada peminat, ujar Lin, apa sahaja respons sama ada positif atau negatif daripada pendengar akan diterima dengan hati terbuka.
“Saya terima apa saja respons. Namun, setakat ini semua tindak balas yang saya terima amat positif. Mereka menyokong kerjaya saya,” jelas ibu tunggal kepada Nureen Areesya, 10, dan Nazreen Asyran, 8, ini.
Album Persona Cinta boleh didapati di semua cawangan kedai muzik pada harga RM25.50.
Kepada pembaca yang belum mengenali Lin, dia merupakan penyampai radio yang mengendalikan rancangan Suria Cinta di Suria FM setiap Isnin hingga Jumaat dan Ahad dari pukul 11 malam hingga 2 pagi.
Pengendali program Suria Cinta yang mempunyai lebih 70,000 peminat menerusi Facebook itu berharap kecemerlangan yang diperoleh pada tahun lalu akan terus berkekalan pada tahun seterusnya.
sumber :http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment