TERKINI! 'Undang-undang Islam dicabar'!!

on Saturday, July 27, 2013

TERKINI! 'Undang-undang Islam dicabar'!!



Anna Lim (kanan) ketika mengadakan pertemuan bersama Che Mat, kelmarin

'Undang-undang Islam dicabar' | KUALA LUMPUR - "Satu demi satu undang-undang Islam dicabar hari ini. Orang Islam sewenang-wenangnya dicabar. Saya amat sedih dan kecewa kerana ada orang Islam sendiri yang mencabar. Cabar sesama Islam, cabar pihak berkuasa."

Demikian keluhan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dalam reaksinya terhadap pertikaian keputusan Majlis Fatwa yang mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

Menurutnya, keputusan Majlis Fatwa tidak boleh dipertikaikan, justeru sebarang kenyataan yang hendak dibuat perlu ambil kira keputusan dibuat mufti dan perlu dihormati.

"Saya bimbang isu cabar mencabar ini tidak kira sama ada antara bukan Islam dengan orang Islam, atau sesama Islam sendiri akhirnya akan mewujudkan suasana yang  mana orang ramai tidak lagi menghormati undang-undang,"katanya mengulas isu empat peserta Islam dilarang menyertai pertandingan Miss Malaysia World 2013 2 Ogos ini berikutan keputusan Majlis Fatwa yang menegah penglibatan wanita Islam dalam acara seumpama itu.

Malangnya, ada dalam kalangan wanita itu yang dilaporkan mempertikaikan larangan tersebut yang sekali gus boleh dianggap menghina undang-undang Islam.

Meskipun akhbar kelmarin sudah menyiarkan kenyataan mereka yang terbabit memohon maaf selain menjelaskan mereka tidak bermaksud menghina agama, Che Mat berkata, siasatan terhadap mereka sudah dibuka mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menyifatkan kenyataan itu sebagai menghina Islam.

Individu yang disabitkan dengan kesalahan mengikut akta itu boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Jika mereka terus ambil bahagian dalam pertandingan ini, mereka dianggap melanggar Seksyen 9 akta sama, sekali gus menghina pihak berkuasa, mengingkari, melanggar dan menghina perintah Yang di-Pertuan Agong.

"Mereka yang persenda fatwa, yang menyertai pertandingan kedua-duanya diambil tindakan,"katanya.

Che Mat berkata, dalam tempoh dua hari sejak kelmarin, ada antara empat wanita terbabit hadir ke pejabat Jawi untuk lengkapkan proses mengambil keterangan dan siasatan.

"Mereka dipanggil ke pejabat Ketua Penguatkuasa Jawi sebelum dibawa kepada Pendakwa Syarie. Siasatan dijangka siap sebelum Aidilfitri dan keputusan tindakan akan dibuat selepas Aidilfitri," katanya.

Che Mat bagaimanapun enggan mendedahkan siapa daripada empat wanita itu yang sudah hadir.

Ditanya mengenai permohonan maaf mereka terbabit sudah disiarkan akhbar, Che Mat berkata, pihaknya sedang meneliti tindakan lanjut selepas berunding dengan penguatkuasa.

"Mereka mahu jumpa dan bincang untuk permohonan maaf dan sebagainya, tetapi tindakan dan keputusan belum dibuat," katanya.

Ditanya lagi sama ada keempat-empat bekas peserta pertandingan ratu cantik itu akan dipanggil untuk sesi kaunseling supaya tidak timbul salah faham mengenai undang-undang Islam, Che Mat berkata, perkara itu hanya akan diputuskan selepas siasatan selesai.-sinar harian
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment