ALMY BUKA BUKU BARU

on Monday, April 22, 2013

 

Tiada apa lagi perlu diperkatakan Almy Nadia, 27, mengenai hubungannya dengan pelakon, Fizz Fairuz. Segala-galanya sudah berakhir dan dia terima ketentuan itu dengan hati terbuka.

Apa dilalui sepanjang tujuh tahun mencintai jejaka itu dikuburkan di lubuk hati dan enggan dikenang lagi. Almy kini mahu fokus pada kerjaya dan tanggungjawabnya sebagai anak dan keluarga.

Begitulah luahan jujurnya ketika menjayakan fotografi bersama SELEBRITI di Balai Berita, baru-baru ini.

Jika sebelum ini dia tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilan dan kecewa, berbeza kali ini apabila tampak tenang menyusun bicara. Akui Almy, air matanya sudah kering meratap apa yang menimpa diri.

Katanya, dia tidak boleh biarkan diri terus tenggelam dengan emosi. Sampai masanya dia harus menikmati kehidupan dengan membuka buku baru.

“Mula-mula memang sedih dan kekok bila hubungan yang dipertahan selama tujuh tahun berakhir. Namun, seiring masa yang berjalan, saya dapat terima hakikat dan bangkit daripada kekecewaan.

“Saya sedar apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. Dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.

Mungkin dia tidak mahu saya sakit kemudian hari, jadi lebih baik saya sakit sekarang.

“Ujian ini sikit saja, ada orang lain yang lebih berat dugaannya. Lagipun, bila difikirkan balik sebagai manusia biasa, kita tidak sempurna.

“Ada kalanya ujian diberi untuk menyedarkan kita. Sesungguhnya setiap yang berlaku ada hikmatnya dan saya reda.

“Yang perlu saya buat sekarang adalah buka episod baru dalam kehidupan dan fokus sepenuh perhatian terhadap kerjaya dan keluarga,” katanya yang anggun menggayakan busana rekaan Syafiq Ayman.

Tidak menafikan cabaran paling berat adalah berdepan pandangan serong segelintir pihak selepas kontroversi hubungannya dengan bekas kekasih hangat diperkatakan, selain terpaksa pekakkan telinga dengan pel­bagai cerita disampaikan orang sekeliling meskipun dia tidak ada kena mengena lagi dengan Fizz.

Akui Almy, ada ketikanya dia rimas dan lelah tetapi tidak berdaya mengelak.

Suka atau tidak, dia terpaksa kuatkan mental berdepan situasi itu meskipun pahit untuk ditelan.

“Jujur, saya tidak selesa bila orang bertanya atau bangkitkan kisah lama saya dan Fizz. Sejak putus, ramai datang kepada saya bercerita itu ini dan ada antara­nya bercakap benda yang saya tidak pernah tahu.

“Semua itu buat saya rasa rimas dan terpaksa pekakkan telinga serta kuatkan mental supaya tidak terkesan dengan apa yang disampaikan. Cukup-cukuplah, saya tidak mahu tahu benda yang lepas.

“Apa yang berlalu biar berlalu. Saya tak mahu kenang lagi atau ambil tahu apa-apa lagi,” katanya memohon pengertian.

Selepas dua tahun berdepan pelbagai dugaan, Almy berharap 2013 menampakkan sinar apabila tawaran kembali rancak. Bahkan sejak Januari lalu, penggambaran tidak putus.

“Macam-macam dugaan saya lalui, termasuk patah kaki. Tawaran pun kurang tetapi insya-Allah, tahun ini nasib saya berbeza. Alhamdulillah, tawaran tak putus-putus dan kebanyakannya datang daripada RTM,” katanya.

Antaranya drama Roboh untuk siaran Ramadan di RTM dan telefilem Untukmu Muhamad sempena Hari Ibu untuk TV9.

Terbaru, Almy ditawarkan watak utama untuk drama adaptasi daripada filem Ali Setan. Difahamkan, drama ini mengekalkan pelakon lama Ali Setan dan dia jadi anak Fauziah Ahmad Daud.
Saya bukan hipokrit, suka cakap belakang

Tujuh tahun dia setia dengan Fizz Fairuz, kini segala-galanya berakhir dengan berita gempar gadis lain yang menjadi pilihan hingga disunting dalam majlis pertunangan secara rahsia.

Namun kini apabila dirinya kembali solo, pasti ada yang cuba mendekati. Apabila ditanya perkara itu, Almy hanya menghela nafas berat. Katanya, bukan senang bertemu yang jujur dan ikhlas.

“Ramai ada niat tidak elok dan berpaksikan nafsu semata-­mata. Justeru, saya memilih untuk jauh­kan diri. Saya tolak secara baik, tetapi ada yang marah hingga sang­gup melemparkan kata bukan-bukan kepada saya.
“Lebih menyakitkan, mereka panggil saya perempuan psiko dan ‘queen control’. Malah, mereka kata memang patut Fizz ting­galkan saya hanya kerana cinta mereka ditolak.

“Bukan saya jual mahal, tetapi itu yang terbaik apabila dari awal nampak mereka ada niat tidak elok. Kalau ikutkan memang saya terasa hati dengan kata-­kata itu, tetapi tak mengapa.

“Biar orang berkata apa saja, yang penting saya ada pendirian dan tidak biarkan orang memperlakukan saya sewenang-­wenangnya,” katanya.

Belajar daripada pengalaman lalu, Almy kini selesa mengambil pendekatan berdiam diri. Sebelum ini apabila cuba menegakkan kebenaran, tidak kira ia bersangkut perihal peribadi atau kerjaya, ada yang menuduhnya mulut lancang dan sengaja buka pekung di dada sendiri.

Baginya, lebih baik berterus-terang daripada bersikap hipokrit, namun pendiriannya mengundang salah tanggapan segelintir pihak.

“Saya bukan jenis hipokrit atau cakap belakang. Kalau tak suka, saya cakap. Orang suka menghakimi saya berdasarkan apa yang saya luahkan di media sosial atau yang mereka dengar orang cakap.

“Saya sedar ada rakan artis skeptikal dengan saya, walhal saya tidak pernah ada masalah dengan sesiapa. Pernah sebelum ini ada yang bercerita mengenai orang lain kepada saya, tetapi apa disampaikan tidak saya terima bulat-bulat.

“Kita tidak boleh dengar hanya sebelah pihak. Apabila jumpa orang diperkatakan tadi, saya akan bertanya untuk elak salah faham.

“Bagaimanapun, sudahnya orang yang sampaikan tadi putar belitkan fakta kononnya saya yang burukkan orang lain. Kelakar sungguh.

“Kenapa pula bila baling batu sembunyi tangan dan tuding jari kepada orang lain? Ada juga yang suka lagakan saya dengan orang itu, orang ini,” katanya.

Almy juga akui ada yang pandang rendah kepadanya apabila tiada kereta, tidak pandai bergaya dan tidak pakai barang berjenama mahal. Baginya, tidak perlu berhabis hanya kerana mahu menjaga gaya. Adalah lebih praktikal jika bersikap ukur baju di badan sendiri.

“Sesetengah orang menetapkan ‘standard’ hanya akan berkawan dengan orang setaraf mereka. Mesti ada kelas dan pakai barangan berjenama. Maaf, saya bukan begitu. Saya tak akan beli barang yang saya tak mampu.

“Saya bekerja keras untuk sara keluarga dan anak. Saya ada amanah lebih besar daripada memewahkan diri. Dalam berkawan, saya tidak memilih. Kalau ada yang ajak keluar, saya tidak ada masalah lepak bersama mereka,” katanya.

Sumber: myMetro
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment