Lahad Datu: Pengganas Sulu Mengganas , Harta Penduduk Dimusnahkan | Kehidupan kira-kira 1,400 penduduk di Kampung Tanjung Labian di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila mereka terpaksa menghadapi masa depan suram dan beban hutang gara-gara pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu.
Selepas sebulan meninggalkan rumah dan menghuni pusat pemindahan ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu, sebahagian penduduk dibawa memasuki kawasan kampung itu sebelum dikejutkan dengan penemuan banyak harta masing- masing yang musnah terbakar atau dirosakkan.
Tidak cukup dengan rumah, kedai runcit dan bengkel kenderaan, peralatan untuk mencari sesuap nasi seperti bot nelayan turut dimusnahkan.
Sedih dengan apa yang dilihat, beberapa orang penduduk meraung, menangis, menjerit, terduduk dan bertakbir.
Siti Aminah Hiya, 21, berkata, kehidupannya kini sudah tidak bermakna apabila rumah yang dihuni beberapa tahun lalu musnah.
Lebih memburukkan keadaan apabila bot dan enjin yang diguna oleh suami ke laut menangkap ikan turut terbakar.
“Bot dan enjin ini saya dapat hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM1,500 beberapa bulan lalu dan baru sekali saya bayar balik pinjaman.
“Sekarang bot sudah hancur, bagaimana saya dan suami hendak mencari rezeki bayar balik pinjaman? Rumah juga dibakar dan apa yang ada sekarang hanyalah baju yang kami pakai ini,” katanya.
Gambar : JUHRAH (kanan) bersama Betty menangis di atas tangga rumah mereka, semalam.
Lahad Datu: “Tiada apa lagi yang saya miliki sekarang melainkan hanya tangga di rumah ini. Semuanya musnah menjadi arang,” kata suri rumah, Juhrah Jowak, 48, yang meratap kesedihan apabila rumah papan didudukinya sejak 10 tahun lalu musnah terbakar akibat insiden pencerobohan pengganas.
“Semuanya jadi arang. Banyak barangan saya musnah… wang tunai, katil, mesin jahit, televisyen, peti ais, sofa, mesin basuh dan dokumen diri… semuanya terbakar,” katanya.
Gambar : PENDUDUK Kampung Tanjung Labian membaca doa sebelum membuat penilaian kerosakan ke atas rumah mereka.
Lahad Datu: Kegembiraan hampir 100 penduduk Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian, di sini yang dibawa memasuki perkampungan mereka semalam, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tiga das tembakan.
Ini menyebabkan sebahagian penduduk yang memasuki rumah masing-masing bertempiaran lari untuk berkumpul di kawasan lapang berhampiran dengan masjid yang ada di Kampung Tanjung Batu.
Bunyi tembakan dari arah penempatan tepi laut dipercayai 500 meter dari masjid itu kedengaran sekitar jam 12 tengah hari, kira-kira 30 minit selepas pasukan keselamatan membenarkan mereka memasuki penempatan itu.
Susulan itu, anggota pasukan keselamatan yang bertugas mengawal kedua-dua kampung bersebelahan dikerah menyiasat kejadian itu.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yang berada di tempat kejadian menjelaskan, tembakan itu dilepaskan oleh pasukan keselamatan sebagai amaran.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment